Di pagi yang cerah, di antara rendangnya pepohonan, kelihatan seekor burung helang sedang bermalas-malasan berehat di dahan sebatang pokok. Selama beberapa hari burung helang berulang kali hinggap di dahan pokok yang sama kerana tertarik memerhatikan kegiatan sekumpulan lebah yang sibuk bekerja bersama-sama membuat sarang yang berjuntai di dahan sebatang pokok.
Kelihatan seekor lebah terbang hinggap di antara bunga-bunga hutan yang mekar, menghisap madu, dan terbang lagi ke dahan memberikan madu ke sarangnya dan begitu seterusnya. Burung helang dengan tidak sabar menegur lebah tersebut yang terbang berhampirannya, “Hai lebah kecil, kamu sibuk terbang dari bunga ke sarangmu berulang-ulang kali. Apa yang sedang kamu buat?”
Lebah pun menjawab: “Aku dan kawan-kawan sedang membuat sarang.”
“Untuk apa kamu semua membuat sarang sebesar itu? Umur lebah kan sangat pendek. Sudahlah…, tidak perlu susah-susah bekerja! Santai-santai saja dan nikmati kehidupan kamu yang singkat itu.”Demikian burung helang menasihati si lebah.
“Umurku memang tidak sepanjang umurmu, burung helang. Tapi justeru kerana pendeknya waktu yang aku ada, aku tidak boleh mensia-siakan nya. Aku harus bekerja kuat dan lebih rajin agar sarang kami dapat disiapkan sesingkat umur kami,” jawab lebah.
“Untuk apa sarang kamu harus disiapkan cepat-cepat kalau kamu memang akan mati dengan segera? Buat penat sahaja, tapi kamu tidak dapat menikmati sarang yang telah dibuat dengan susah payah.”
Lebah menghasilkan madu yang banyak kasiat untuk dinikmati manusia.
“Hahaha, tuan helang yang gagah dan berumur panjang, kasihan sekali cara kamu berfikir. Kerana umur kami yang singkat inilah maka, harus kami hargai dengan sungguh-sungguh. Kami memang makhluk kecil dan berumur pendek tetapi kami bangga dan bahagia kerana dapat memberi manfaat kepada makhluk lain iaitu dengan memberikan semua hasil kerja keras yang telah dilakukan seumur hidup kami. Itulah erti kewujudan kami di dunia ini,” jawab sang lebah kecil sambil terbang berlalu.
Mendengar ucapan lebah kecil itu, burung helang terdiam. Ia tidak mampu berkata-kata lagi dan bersombong diri. Ternyata di balik penampilan makhluk yang kecil dan berumur pendek, kehidupan mereka pun memiliki erti tersendiri.
*******
Adik-adik yang baik,
Be like the bee. Jadilah seperti lebah kerana Nabi yang kita kasihi, Rasulullah saw juga telah berpesan agar kita meniru sifat-sifat positif yang yang dimiliki oleh lebah. Lebah binatang yang kecil, tapi bekerja keras dan tekun, hidupnya bermanfaat kepada manusia, memberikan madu yang manis, sedap dan berkhasiat walaupun hayatnya di muka bumi ini hanya sebentar.
Adik-adik yang di rahmati Allah,
Jika di setiap detik waktu yang kita ada, kita dedikasikan untuk berbuat perkara yang baik, suka membantu dan memberi, serta bertanggung jawab atas hidup kita sendiri, apatah lagi bermanfaat bagi orang lain, nescaya setiap hari yang kita jalani akan penuh ceria dan gembira. Jadi...Tunggu apa lagi? Jom kita NIKMATI HIDUP ini dengan berlumba-lumba membuat kebaikan. JOM!
??????JOM FIKIR-FIKIR ??????
1. Apakah nama surah di dalam Al Quran yang bercerita tentang lebah?
2. Tahukah adik-adik berapa lamakah jangka hayat seekor helang?
2. Tahukah adik-adik berapa lamakah jangka hayat seekor helang?
3. Berapa pula jangka hayat seekor lebah?
4. "Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat untuk orang lain." Apakah sebutan hadis di atas di dalam bahasa Arab (Matan)?
5. Berikan contoh manfaat/berbuat kebaikan kepada orang lain?
No comments:
Post a Comment