Pages

Wednesday, 11 May 2011

CALON PENGHUNI SYURGA

Pada suatu ketika, Nabi Muhammad saw sedang duduk-duduk bersama beberapa orang sahabat. Tiba-tiba, Nabi berkata, "Sebentar lagi, salah seorang calon penghuni syurga akan melintas di sini." Para sahabat Nabi kemudian terdiam sambil saling memandang di antara satu sama lain. Mereka tertanya-tanya siapakah agaknya calon penghuni yang di sebutkan oleh Rasulullah. Tidak lama kemudian, seorang lelaki yang berpenampilan sangat sederhana melintasi para sahabat Nabi.

Hari berikutnya Nabi Muhammad mengulang lagi perkataannya tentang seoerang penghuni syurga dan lelaki sederhana semalam muncul lagi.

Di hari ketiga, Nabi Muhammad masih lagi mengulangi perkataannya dan kejadian itu kembali terulang, lagi-lagi lelaki itu yang muncul.

Mendengar ucapan Nabi Muhammad, salah seorang sahabat bernama Abdullah bin Amr merasa ingin sekali mengenali lelaki yang di maksudkan oleh Nabi Muhammad itu untuk mengetahui apakah keistimewaan lelaki tersebut. Apakah amalan yang dilakukan lelaki itu sehingga dia boleh masuk ke syurga? 

Abdullah bin Amr menemui lelaki itu sambil bertanya, "Wahai sahabatku, bolehkah kamu izinkan aku duduk di rumah kamu selama tiga hari?"

"Silakan." Dengan senang hatinya lelaki itu menjemput Abdullah bin Amr sebagai tetamunya.

Sepanjang 3 hari Abdullah bin Amr tinggal di rumah lelaki itu, dia tidak melihat apa-apa keistimewaan lelaki tersebut. Ibadahnya biasa-biasa sahaja. Lalu apa sebabnya dia boleh menjadi penghuni syurga?

"Sudah tiga hari aku di sini, aku tidak melihat kamu mengerjakan ibadah yang luar biasa. Aku hairan, mengapa Nabi Muhammad menyebut kamu sebagai salah seorang calon penghuni syurga?" Abdullah bin Amr memberanikan diri bertanya kepada lelaki tersebut.

"Aku memang tidak melakukan apa-apa amalan yang istimewa, tetapi setiap hari sebelum tidur, aku berusaha memaafkan segala kesalahan seluruh manusia terhadap aku. Sama ada yang menghinaku, menyakiti hatiku atau apa juga kesalahan yang mereka lakukan kepadaku maka  aku akan memaafkannya. Aku memohon kepada Allah agar diampunkan segala dosa mereka. Aku juga menghilangkan rasa dengki dan iri hatiku terhadap kurniaan yang Allah berikan kepada saudara seimanku." Lelaki itu menjawab dengan tenang.

Ya Adik-adik, agama Islam mengajar kita untuk tidak saling dengki dan sakit hati. Sebab dengki dan sakit hati itu hanya akan menyebabkan permusuhan. Disamping akan menghapus segala kebaikan-kebaikan kita.
Adik-adik, ternyata jika kita memaafkan kesalahan teman kita, Allah akan memberikan syurga kepada kita sebagai ganjaran.
Bersyukurlah atas segala nikmat yang Allah berikan kepada kita, maka hati kita akan menjadi lebih lapang dan senang. Teman-teman juga akan suka berkawan dengan kita.
Orang yang dengki dan pendendam adalah kawan kepada syaitan dan tidak akan disukai oleh teman-teman yang lain.
Tentu kamu ingin mempunyai ramai teman dan disayang oleh semua orang bukan? Maka jadilah orang yang pemaaf maka Allah pun akan menyayangi kita.

No comments:

Post a Comment